Saturday, June 13, 2009

fakta tentang makanan di MALAYSIA


Makanan Malaysia ini dengan budaya makanan orang Melayu. Pelbagai lauk pauk tidak akan sempurna jika tidak diiringi dengan nasi. Nasi merupakan makanan utama bagi orang Malaysia dan orang Melayu amnya. Beras juga merupakan nadi budaya kehidupan dan adat bagi penduduk Asia. Bijirin kecil ini juga berjaya membentuk budaya diet (pemakanan) dan ekonomi penduduk Asia. Di Malaysia padi menjadi tanaman utama di Kedah dan Perlis dan dikenali sebagai ‘rice bowl of Malaysia’. Nasi dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk dan ulam ulaman. Bahan yang digunakan dalam masakan Melayu berkisar kepada santan, cili dan belacan. Hidangan orang Melayu dikatakan mampu menghangatkan suasana di meja makan. Hidangan Melayu terkenal bukan sahaja dari keenakan tetapi dari segi kepedasan dan juga penggunaan rempah ratusnya.

Santan merupakan bahan asas dalam masakan kita. Ia digunakan dalam segala jenis gulai atau masak lemak. Bahan perasa (seasonings) dalam masakan Melayu di bahagi kepada dua: rempah basah dan rempah kering. Rempah basah iaitu bahan yang ditumbuk dengan batu lesung: bawang, halia, bawang putih dan cili. Rempah kering pula termasuk biji ketumbar, jintan, buah pelaga, kayu manis dan lain-lain. Rempah ratus ini selalunya di sangai (digoreng tanpa minyak) terlebih dahulu sebelum ditumbuk atau dikisar. Orang Melayu juga banyak menggunakan bahan-bahan herba seperti serai, daun pandan, daun limau purut, daun kemangi, bunga kantan, kunyit, lengkuas dan buah pala.

Kita beralih pula ke masakan tradisi dan masakan popular orang Melayu di Malaysia. Kita masih mengemari masakan kampung atau masakan nenek dan emak kita dahulu. Orang Melayu di kampung-kampung masih berlandaskan pertanian. Di halaman-halaman rumah kampung kelihatan berkeliaran ayam, itik, ikan dari hasil tangkapan nelayan atau dari sawah dan bendang. Sayuran ditanam di belakang rumah dan juga di perairan sawah dan bendang. Pucuk paku, petai, daun pegaga, daun selum, daun kaduk, cendawan (kulat) dan lain-lain jenis ulaman daun menjadi makanan amalan orang Melayu di kampung. Daun-daun ini selain kaya dengan sumber vitamin dan mineral, ia juga tinggi dari segi serat. Daun kaduk dan daun pegaga telah mendapat pengiktirafan dari WHO sebagai herba yang mempunyai pelbagai faedah kepada kita. Ia boleh merangsang aktiviti otak kanak-kanak, pengaliran darah yang sihat dan menghaluskan tekstur kulit seseorang.

Untuk pesakit diabitis dan tekanan darah tinggi, ulam jering boleh dijadikan ubat kerana kandungan alkali yang tinggi dan berfungsi sebagai bahan dirutik. Tongkat Ali merupakan akar kayu yang terbilang hasiatnya dari segi penambahan tenaga batin dan juga tenaga fisikal. Tongkat Ali dijual dalam bentuk tablet dan juga serbuk. Di restoran dan gerai, kopi tongkat Ali menjadi minuman kegemaran para pengunjung. Dahulu ulam dan akar kayu hanya dipopularkan oleh orang Melayu tetapi sekarang mendapat tempat di restoran dan hotel-hotel, dimana kita lihat kaum-kaum lain turut meminatinya.

Nasi lemak patut dijadikan makanan kebangsaan Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi turut di pelopori oleh kaum Cina dan India. Nasi lemak dahulunya dihidang untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang pada rumah terbuka dan dijadikan salah satu menu (ala carte) di hotel-hotel. Nasi lemak turut diiringi dengan beberapa lauk sampingan: kari ayam, rendang (ayam dan daging), sambal (sotong kering atau ikan bilis), ayam goreng dan paru goreng.

Di musim perayaan (hari lebaran, kenduri kendara) nasi tomato beserta lauk pauknya sentiasa menarik perhatian tetamu. Nasi tomato dihidang bersama ayam masak merah, dalca, ayam golek, pecal dan lain-lain. Bagi orang Melayu pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) menghidangkan pelbagai juadah seperti nasi dagang, nasi berlauk, nasi minyak, ayam percik dan lain-lain. Negeri Perak pula berbangga dengan rendang tok dan gulai ikan sembilang tempoyak. Gulai lemak cili padi (ayam, ikan dan daging) pula dipelopori oleh orang Negeri Sembilan. Selain lauk pauk terdapat juga makanan ringan; laksa Penang, laksa Johor, pesembur, mi Siam dan lain-lain.

Manisan kegemaran orang Melayu ialah dari jenis bubur dan kuih muih. Bubur pulut hitam, bubur kacang, pengat pisang dan bubur cacar (kandungan keladi, keledek dan tepung gunting) merupakan manisan yang sangat popular. Kebanyakan kuih muih orang Melayu berasaskan beras, beras pulut dan ubi. Contohnya kuih seri muka (di bawah pulut dan di atas kastad pandan) pulut panggang (pulut berisi serunding kelapa atau ikan) bengkang ubi, talam keladi, cucur badak, kuih lapis dan sagu gula Melaka. Manisan tradisi bagi orang Melayu pula ialah dodol, wajek, kuih koci, bahulu dan onde-onde. Kuih tradisi ini masih diminati terutama pada bulan Ramadhan dan lebaran. Minuman iringan pula, orang Melayu kita tidak akan lupa menghidangkan air sirap bandung, sirap selaseh, air kelapa dan air kopi kampung.

Bila kita menyebut nasi kandar, Pulau Pinang menjelma dalam ingatan kita. Nasi kandar di Pulau Pinang samalah seperti adanya nasi dagang di Kelantan atau Terengganu. Kini populariti nasi kandar telah menular ke negeri-negeri lain di Semenanjung. Kadang kala kita tertanya-tanya apa yang membezakan nasi kandar dengan nasi-nasi yang lain. Nasi kandar diiringi dengan pelbagai jenis lauk pauk (dalam 30 jenis masakan). Contoh hidangan lauk pauk nasi kandar ialah: ayam goreng berempah, kari kepala ikan, ikan goreng, kari telur sotong, udang galah goreng, kari daging rusa, kari kambing dan lain lain. Berbalik mengimbas sejarah nasi kandar, kita akan ke selatan India. Di sinilah bermulanya di mana pedagang-pedagang India Muslim berulang alik antara India dan Semenanjung.

Pada mulanya pengaruh masakan mereka ini tertumpu di utara Semenanjung sahaja: Alor Setar, Kangar, Sungai Petani dan Penang. Lama kelamaan populariti nasi kandar ini menular keseluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Nasi kandar mengekalkan nama ‘kandar’ ini berlandaskan cara penjaja nasi ini menjualnya. Nasi dikandar di bahu (dua bakul atau raga dengan satu batang kayu) dan mereka akan berjaja merentas kampung-kampung. Pasa masa kini nasi kandar boleh dinikmati di restoran-restoran dan juga di hotel. Menikmati hidangan yang disajikan di atas daun pisang juga menjadi kegemaran orang-orang Malaysia. Minuman iringan dengan nasi kandar ini ialah teh tarik. Ia sepatutnya juga menjadi air minuman kebangsaan Malaysia.

Roti canai atau paratha dan puri ini pada asalnya ialah makanan kegemaran kaum India. Buat masa kini roti canai berjaya meletakkan tarafnya bersama dengan nasi lemak, diminati oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. Capati yang diolah dari gandum tulin mempunyai banyak khasiat dan makanan sesuai untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi. Roti-roti ini sedap dimakan bersama dal, kari dan sambal.

Satu lagi hidangan berasal dari India ialah nasi beriani. Terdapat beberapa jenis nasi beriani tetapi yang menjadi sebutan dan gilaan ialah nasi beriani gam. Ia bukan sahaja digemari oleh kaum India tetapi juga diminati oleh kaum-kaum yang lain. Nasi beriani ini dipelopori oleh orang Melayu terutama di Johor. Nasi beriani gam ini dimasak bersama dengan lauknya (ayam dan daging) dan doh tepung gandum menjadi bahan penampal atau pelekat. Doh ini akan ditampal di sekeliling tutup periuk untuk mengekalkan wap dan haba, dan seterusnya mengekalkan aroma dan tekstur nasi. Kuih muih orang India dijual di restoran mamak ialah: wade, maruku dan suji. Pelbagai minuman berasaskan tairu dan buah-buahan juga turut dijual. Contohnya nasi mangga.

Masakan nyonya pada masa kini sangat diminati oleh pelbagai kaum di Malaysia. Kaum nyonya bermastautin di Melaka dan Penang. Keturunan nyonya ini dikatakan berasal dari kaum Cina dan Amoy (Xiamen) dan Fukian. Pada abad ke-12 mereka mengawini gadis Melayu tempatan dan seterusnya berkeluarga di mana anak lelaki mereka dipanggil baba dan anak perempuan dipanggil nyonya. Baba dan nyonya mengikut dan meminati nilai tradisi dan budaya Melayu. Mereka fasih berbahasa Melayu, memakai kebaya dan memahami adat resam, nilai dan tradisi orang Melayu. Walau bagaimanapun kaum baba dan nyonya ini masih mengekalkan agama dan adat resam kaum Cina. Masakan nyonya adalah gabungan masakan orang Melayu dan Cina. Contoh masakan nyonya ialah bubur caca, ikan bakar dan air asam, nasi kerabu dan lain-lain. Terdapat beberapa perbezaan antara nyonya Penang dan nyonya Melaka. Di antaranya ialah penggunaan cili, di mana masakan nyonya Penang agak pedas berbanding nyonya Melaka. Nyonya di Penang dipengaruhi oleh Thailand di mana penggunaan limau dan asam jawa agak ketara. Masakan nyonya di Melaka mempunyai banyak pengaruh Indonesia dan Melayu. Contohnya ialah gado-gado dan penggunaan santan dalam masakan mereka. Kaum nyonya juga pandai menggayakan buah-buahan dan sayuran tempatan di dalam masakan mereka. Di antaranya ialah jantung pisang, nangka muda, daun keledek dan belimbing buluh. Buah-buahan dan sayuran ini digabungkan dengan daun limau purut, daun kesum, bunga kantan, daun kunyit dan daun pandan. Otak-otak, kerabu, laksa nyonya dan kuih muih nyonya mendapat tempat di buffet hotel dan restoran. Kuih nyonya terkenal dengan keenakan dan kepelbagaiannya. Kebanyakan kuih nyonya ini berasaskan resipi kuih orang Melayu tetapi diperkemaskan dan perbaharui oleh kaum nyonya. Bahan tani yang digunakan ialah ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi, beras pulut, santan dan gula melaka.\

Bagi kaum Cina pula bahan utama dalam masakan mereka ialah bahan soya (tahu, taucu, kicap soya) cendawan, bunga lily, biji bijan dan lain-lain. Bahan ini kemudiannya akan diolah bersama rempah yang digunakan oleh orang Melayu seperti biji ketumbar, kayu manis dan sebagainya. Kebanyakan masakan Cina di negara kita ini, kebanyakan resipinya berasal dari Negeri China, contohnya: yong tau foo, char koay teow, dim sum dan lain-lain. Masakan ini telah diminati semenjak abad ke-18. Lok lok adalah satu-satu makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran kaum Cina. Lok lok atau dikenali dengan sate celup merupakan makanan ringan dari sayuran, daging dan makanan laut. Nasi ayam bukan sahaja dipelopori oleh kaum Cina tetapi diminati oleh semua rakyat Malaysia. Nasi ayam dihidangkan bersama ayam goreng, ayam panggang atau ayam kukus. Bagi orang Melayu mereka lebih meminati ayam yang bergoreng atau dipanggang dan kaum Cina memilih yang dikukus. Minuman iringan bagi kaum Cina ialah teh Cina dan manisan kegemaran mereka ialah buah-buahan segar dan manisan berasaskan kekacang.

Untuk mengakhiri seminar ini saya ingin menyentuh aspek etika sosial dan tata cara peradaban di meja makan di Malaysia. Sebelum itu mari kita meninjau ke dapur-dapur orang Malaysia. Terdapat pelbagai kaedah memasak yang boleh kita pelajari. Bagi kaum Melayu peralatan seperti batu lesung merupakan peralatan ‘mesti ada’ dari nenek moyang kita dahulu hingga sekarang. Sesetengah orang berpendapat sambal belacan menggunakan batu lesung lebih berperisa dibandingkan dengan yang dibuat dengan pengisar elektrik. Kaum Cina dengan kuali atau ‘wok’nya dan kaum India dengan belanganya pula. Kaum ethenik di Malaysia menganggap suasana ketika menikmati hidangan adalah aktiviti komuniti, tidak kira di rumah atau di restoran. Makanan di hidang serentak (kecuali bankuet Cina) dan setiap individu akan dihidangkan dengan nasi dan mereka akan memilih lauk pauk sendiri. Orang India dan orang Melayu menggunakan tangan dan kaum Cina dengan penyepit. Menggunakan tangan juga mempunyai etika tersendiri. Kita hanya menggunakan tangan kanan dan hujung jari sahaja. Tapak tangan tidak digunakan dan ia mesti kelihatan bersih tidak comot. Membasuh tangan bukan sahaja bersopan tetapi dimestikan dari segi kebersihan. Kadang kala kita akan diberi air basuh tangan oleh tuan rumah dan di restoran-restoran pula disediakan sinki basuh tangan dan sabun. Kita tidak dibenarkan sama sekali mengambil makanan dari pinggan hidang dengan tangan. Kita sepatutnya menggunakan sudu yang disediakan dengan mengambilnya dengan tangan kiri. Anda digalakkan mengambil makanan terdekat dengan anda dahulu dan tidak terlalu banyak bercakap jangan bercakap ketika mulut masih penuh dan akhir sekali tidak mengunyah terlalu kuat.

Bagi kaum Cina memang lasimnya menggunakan penyepit, tetapi di restoran dan kedai makanan ada juga yang menyediakan sudu dan garpu. Mereka dianggap tidak bersopan jika menjilat hujung penyepit dan meletakkan penyepit di atas mangkuk nasi. Letakkan penyepit di tempat yang disediakan dan jangan berebut-rebut, pastikan anda menunggu giliran apabila memusing bulatan pemusing. Pada lazimnya hidangan Cina diiringi dengan pelbagai sos, pastikan anda mengambil sos dengan sudu yang disediakan dan letakkan sos ke dalam piring kecil yang disediakan dan jangan sekali-kali mencelup makanan di pinggan hidang.

No comments:

Post a Comment